Thursday, October 3, 2013

Kisah Dato' Volkswagen Beetle

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kali ini saya akan bercerita berkenaan seorang lelaki yang berpangkat Dato' yang mencari PEKIDA sebenar di seluruh pelusuk tanah air. 

Al kisahnya, beliau berasal dari negeri Melaka yang terkenal dengan sejarah dan masyarakat Melayu serta Baba dan Nyonya. Beliau merupakan seorang usahawan berjaya. Sejak beliau mengetahui bahawa wujudnya satu pertubuhan yang dipanggil PEKIDA, beliau mula mencari apa yang dimaksudkan dengan pertubuhan ini. Setelah beliau kenal apa itu PEKIDA, beliau membuat keputusan untuk bersama-sama dalam pertubuhan ini.

Pencarian beliau inilah yang membawa beliau ke negeri Perlis biarpun jaraknya beratus kilometer. Saya tidak ingat bilakah perkara ini berlaku, tapi yang saya dapat coretkan di sini adalah apabila saya pulang ke rumah pada waktu malam dan mendapati ada beberapa kereta termasuk sebuah Volkswagen Beetle mewah di hadapan rumah saya. Rupa-rupanya, Dato' yang dimaksudkan datang untuk mengangkat sumpah sebagai saudara seperjuangan di hadapan bapa saya.

Dari apa yang diceritakan oleh bapa saya, Dato' tersebut mendakwa bahawa di sepanjang pencariannya mencari PEKIDA sebenar, terlalu banyak PEKIDA yang melencong dari nilai-nilai sebenar. Pencariannya berakhir apabila seorang rakan memberitahu beliau akan berjumpa dengan apa yang dicari di PEKIDA Ranting Kg Paloh. Disebabkan itulah beliau sanggup memandu sendiri daripada Melaka ke Perlis hanya untuk mengangkat sumpah setia bersama salah satu ranting PEKIDA yang sebenar. Secara ikhlas, saya bangga dengan apa yang terjadi dan ini membuktikan bahawa kalau benar pun ada anggota PEKIDA yang menjadi samseng, masih terdapat juga PEKIDA yang sebenar dan ianya wujud di hadapan saya sejak hampir 30 tahun lamanya.

Sekian 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sunday, September 29, 2013

Paduka Ayahanda PEKIDA Negeri Perlis

Assalamu'alaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh

Entry saya pada kali ini adalah berkisarkan tentang Paksu Leman yang dilantik menjadi Paduka Ayahanda PEKIDA Negeri Perlis. Mohon maaf kepada tuan-tuan saudara sekalian yang mungkin menganggap saya hanya ingin membanggakan diri bapa kandung saya. Sebenarnya tidak kerana niat sebenar saya hanya untuk memerdekakan jiwa insan para sahabat yang memandang PEKIDA ini sebagai salah satu daripada puluhan kongsi gelap dan gangster di Malaysia.

Untuk pengetahuan tuan-tuan pembaca sekalian, persatuan ini telah wujud sejak sekian lama namun ianya tidak menarik perhatian umum kerana ianya dianggotai oleh golongan beragama secara majoritinya. Selebihnya adalah kaum Melayu yang kebanyakannya berasal daripada utara tanah air (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak). Namun hari ke hari, persatuan ini menjadi popular apabila sebilangan kecil yang memperlekehkan sumpah setia memilih haluan kiri dengan mencari pengikut sendiri. Di saat inilah persatuan ini mula dikaitkan dengan gejala gangster dan sebagainya. Golongan muda telah mencetuskan pelbagai masalah sehinggalah satu tahap di mana kad keahlian rasmi perlu diwujudkan bagi membezakan mereka yang benar-benar ahli berdaftar dan juga mereka yang hanya menumpang nama PEKIDA dengan tujuan yang tidak sepatutnya.

Berbalik kepada tajuk entry ini, Paksu Leman telah dilantik oleh Jemaah Tertinggi Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) Malaysia di satu majlis yang diadakan di Negeri Perlis dengan dihadiri oleh Pengerusi PEKIDA Malaysia, yang pada ketika itu disandang oleh YBhg Hj Jamaluddin. Lantikan ini dilakukan setelah kematian penyandang terdahulu (mohon maaf kerana saya tidak betul-betul ingat nama beliau, yang berasal dari Pauh, Perlis). Tanpa mahu berselindung, terus terang saya maklumkan kepada anda semua bahawa setelah ditabalkan sebagai Paduka Ayahanda Negeri, bapa saya telah dimaklumkan oleh seseorang (sumber yang boleh dipercayai) bahawa nama beliau telah tersenarai dalam senarai rujukan Polis Negara Malaysia Bukit Aman. Berdasarkan kajian dan pengalaman saya, hal ini adalah bersebab dan senarai yang dimaksudkan adalah senarai rujukan dan bukannya senarai hitam atau senarai penjenayah. Sebagai contoh, rumah saya pernah didatangi oleh 2 orang polis yang mendakwa bahawa mereka adalah anggota daripada Bukit Aman dan tujuan mereka datang berjumpa Paksu Leman ini adalah untuk meminta pendapat beliau sebagai seorang yang berpengalaman bagi tujuan membantu siasatan. Jadi, tuan-tuan dapatlah menyimpulkan bahawa salah seorang dari anggota PEKIDA ini telah membantu dalam menyelesaikan kes jenayah dan bukannya melindungi penjenayah.

Pada entry berikutnya saya akan ceritakan tentang seorang usahawan berpangkat Dato' bertandang ke rumah saya dengan hati yang ikhlas. Nantikan entry saya yang seterusnya.

Assalamu'alaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh

Tuesday, September 24, 2013

PEKIDA 1995 - PERLIS INDERA KAYANGAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya ingin memulakan plot penceritaan ini dari tahun 1995 di mana ketika saya masih di alam sekolah rendah. Perlu diingat bahawa kisah yang saya akan coretkan di sini hanyalah berdasarkan daya ingatan saya. Jadi, cerita mungkin tidak sama seperti apa sebenarnya yang terjadi. Harap maklum.

Pada sekitar tahun tersebut, di sebuah kampung di negeri Perlis, utara Malaysia, di mana majoriti penduduknya adalah berbangsa Melayu, namun terdapat juga 2 keluarga Cina yang menjalankan perniagaan sendiri dan memandu lori tanah persendirian. Antara ratusan penduduk di kampung tersebut, terdapat 2 orang lelaki Melayu yang umpama saudara. Pertamanya adalah Ismail yang juga diberi gelaran Ismail Jambul. Yang keduanya pula adalah Abd Rahman yang juga sinonim dengan panggilan Paksu Leman atau Leman Burung. Panggilan Paksu Leman adalah kerana di dalam keluarganya, dialah yang paling bongsu manakala gelaran Leman Burung adalah kerana hobinya yang selalu menangkap burung. Cakap sahaja di mana ada burung tekukur yang cantik, dia akan sampai di situ, dari Perlis sampailah ke Pahang.

Mengapa saya masih ingat kedua orang ini? Jawapannya adalah kerana Paksu Leman adalah bapa kandung saya dan Ismail Jambul adalah sahabat dan umpama abang kepada bapa saya ini. Di zaman itu, perkataan PEKIDA jarang-jarang disebut. Saya juga yakin bahawa saya sendiri tidak pernah mendengar perkataan itu pada waktu itu. Tapi saya hairan kenapa apabila ada kenduri kendara, ianya amat meriah. Silat, gendang dan serunai, DJ, adalah antara benda yang mesti ada setiap kali majlis kenduri kendara diadakan. Tapi, tak semua majlis sebegitu rupa. Kadangkala majlis tersebut adalah anjuran orang berada namun ianya tak semeriah majlis orang biasa yang mana hadirin yang dijemput adalah terlalu ramai.

Saya juga masih ingat yang bapa saya dan Ismail Jambul ini selalu mengikuti rombongan ke negeri lain hanya untuk menghadiri majlis perkahwinan. Saya kagum. Saya kira, mungkin orang yang menjemput itu adalah rakan karib. Tapi, mengapa bas itu penuh dengan orang? Mungkin orang yang menjemput itu ramai kawan di Perlis.

Sedikit demi sedikit saya mengetahui mengapa fenomena ini terjadi. Setelah saya meningkat dewasa saya tahu bahawa orang-orang yang saya sebutkan di atas bukanlah calang-calang orang. Mereka dan kawan-kawan mereka yang lain mempunyai ramai kawan di seluruh pelusuk tanah air. Sekarang saya tahu bahawa orang-orang yang ramai ini bersatu di bawah satu pertubuhan berdaftar yang dipanggil Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA).

Ini adalah cerita pada tahun 1995. Saya akan cuba mengaitkan cerita dan kisah-kisah ini dari tahun ke tahun yang mana para pembaca akan mendapat gambaran sebenar tentang apa dan siapa PEKIDA, dulu dan sekarang. Harap para pembaca sudi menunggu untuk entry saya yang berikutnya.
 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Monday, September 23, 2013

PEKIDA 23 Sept 2013

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya terpanggil untuk berkongsi cerita tentang apa itu PEKIDA dari kaca mata seorang anak kandung kepada salah seorang YBhg Paduka Ayahanda PEKIDA Negeri. Saya bukanlah ahli PEKIDA. Saya hanya seorang lelaki yang menilai pertubuhan ini dari sejak saya mengenali dunia ini sehinggalah sekarang. Saya juga akan terus membuat penilaian ini selagi dizinkanNya.
 
Faktor utama yang menarik perhatian saya adalah pandangan serta penilaian dan juga komen-komen yang dilontarkan oleh rakyat Malaysia berkenaan pertubuhan ini. Dari sehari ke sehari semakin ramai yang berminat untuk mengetahui apa itu PEKIDA.

Disebabkan ini adalah pos pertama saya, saya tidak mampu untuk menerangkan dengan lebih lanjut tentang apa itu PEKIDA. Saya berjanji akan mengemaskini laman ini dari semasa ke semasa berdasarkan memori yang masih melekat kuat di ingatan saya.

Sekian

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh